Siti Nurhaliza bakal timang ‘baby girl’

PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza hari ini mengesahkan bakal melahirkan anak perempuan, Mac ini.

Berita gembira itu dikongsikan Siti sempena hari kelahirannya yang ke-39, hari ni menerusi akaun instagram miliknya.

“Terima kasih pada semua yang mengucapkan ‘happy birthday’ untuk saya. Saya sangat berterima kasih dan doakan semoga semua selamat.

“Alhamdulillah ini hadiah paling bermakna bagi saya dan suami iaitu zuriat yang bakal dilahirkan Mac nanti. Doakan ia sempurna.

“Doktor mengesahkan kandungan saya seorang puteri.

“Doakan semoga kandungan saya sihat dan menjadi anak yang solehah,” katanya.

Oktober tahun lalu, Siti mengesahkan dia hamil empat bulan.

Siti mengaku menjalani rawatan kesuburan ‘In Vitro Fertilization (IVF)’ dalam usaha mendapatkan cahaya mata pertamanya hasil perkahwinan dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 59.

Sumber : Hmetro

Penampilan pertama Janna Nick dan Ajak Shiro sebagai pengacara Melodi mendapat kritikan netizen apabila dianggap ‘kayu’

PENAMPILAN pertama Janna Nick dan Ajak Shiro sebagai pengacara Melodi mendapat kritikan netizen apabila dianggap ‘kayu’ biarpun tidak sampai sejam bersiaran secara langsung, tengah hari tadi.

Kata Janna, dia terima segala kritikan dan komen daripada netizen membabitkan penampilan sulungnya itu dan meminta penonton memberi peluang memandangkan mereka masih baru.

“Dah tular di Twitter mengatakan kami kayu. Jangan macam itu, kami masih baru. Baru satu episod, tunggulah sampai habis.

“Apa pun, terima kasih kepada yang memberi komen dan kami akan ambil untuk buat yang lagi baik selepas ini,” katanya kepada Harian Metro.

Janna yang dihubungi Harian Metro seusai bersiaran akui keputusannya mengacara program itu adalah langkah besar yang dibuat kerana tidak ada pengalaman menjadi pengacara.

“Kalau nak tahu, saya satu-satunya pengacara Melodi yang tidak pernah mengacara dalam mana-mana program. Ini adalah penampilan pertama saya sebagai pengacara.

“Tidak dinafikan memang wujud perbandingan dan teguran. Saya okey dan tak kisah. Sebaliknya saya menjadikan ia sebagai satu bentuk pembelajaran untuk memperbaiki diri.

“Saya tak boleh kata beri peluang kerana penonton memang akan tengok muka saya setiap minggu. Cuma, saya berharap setiap teguran biarlah yang membina,” katanya.

Kata Janna, selepas ini dia perlu lebih banyak membaca berita hiburan dan pengetahuan am bagi menambahkan lagi ilmu pengacaraannya.

“Sejak menjadi artis, saya sering jadi bahan berita. Sekarang saya juga perlu letakkan diri sebagai netizen. Dalam erti kata lain, saya kena ambil tahu kisah orang lain juga.

“Jadi, saya perlu banyakkan lagi membaca berita dan mendengar info daripada rakan wartawan. Pendek kata, saya tak boleh malas,” katanya.

Dalam masa sama, Janna juga ingin perbaiki lagi penggunaan bahasa ketika mengacara.

Janna dan Ajak mula bersiaran hari ini menggantikan pengacara Melodi sebelum ini, Awal Ashaari dan AG.

Sumber : hmetro