Balasan belasah orang gila

PENIAGA kedai makan dipenjara sebulan dan diperintah membayar pampasan RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan mencederakan pesakit mental dengan batang penyapu, tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Hushairi Abdullah, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencederakan Ismail Nor, 63, dengan batang penyapu aluminium di surau Kampung Pengkalan Baru, Bachok pada 3.30 petang, 9 Februari 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian mangsa yang juga pesakit mental mengambil sendiri makanan di kedai makan dengan tangan kotor walaupun sudah diberikan makanan. Pada masa sama, mangsa turut memarahi isteri tertuduh.

Tertuduh yang hilang kawalan terus mencari mangsa dan menemuinya di lokasi kejadian untuk menegur perbuatan lelaki itu sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Tertuduh kemudian mengambil batang penyapu aluminium di surau terbabit dan memukul mangsa beberapa kali sebelum dihalang bapa tertuduh yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Susulan kejadian itu, mangsa yang patah kaki kanan dan tangan kiri serta cedera di paha kiri dan kepala dirawat di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama enam hari.

Terdahulu, peguam Ariyani Mohd Amin yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya yang sudah berkahwin.

“Mangsa dalam kes ini menghidap penyakit mental dan dikatakan sering membuat kacau bukan hanya di kedai makan malah masyarakat di kampung itu turut diganggu.

“Saya mohon tertuduh diberikan peluang dengan dikenakan bon jaminan berkelakuan baik,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius.

“Mangsa seorang pesakit mental dan tertuduh sebagai seorang yang waras perlu bertindak dengan waras. Perbuatan tertuduh ini melampaui batas sehingga mengakibatkan mangsa parah.

“Oleh itu saya mohon hukuman pemenjaraan dan pampasan untuk beri pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

sumber : hmetro

One thought on “Balasan belasah orang gila”

  1. Hey There. I found your blog using msn. This is an extremely well written article.
    I will be sure to bookmark it and come back
    to read more of your useful info. Thanks for the post.
    I will certainly comeback.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *