Restoran jamu fakir miskin

BASUNI menikmati gulai daging dan sate di atas meja. Usai lauk itu dihabiskan, lelaki berusia 75 tahun itu meneguk habis segelas teh ais bagi membilas tekaknya yang kehausan.

“Alhamdulillah, seminggu sekali dapat juga makan makanan yang enak. Selain sate dan gulai daging, saya tahu ada buah anggur dihidangkan di sini,” ujarnya tertawa.

Basuni merupakan salah seorang daripada 120 golongan fakir miskin yang sering mengunjungi Restoran Fakir Miskin di Jalan Ibrahimy, Secang, daerah Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia.

Dari rumahnya, lelaki itu harus berjalan kaki dan menyeberangi sungai selama lebih kurang satu jam sebelum tiba di premis ber­kenaan.

“Walaupun jauh saya sanggup datang ke sini kerana dapat makan secara percuma. Pemilik restoran ini baik orangnya.

“Dia beri makanan yang bagus dan enak kepada golongan fakir miskin seperti saya. Tidak mungkin saya tidak datang, nanti kecewa Pak Haji dengan saya,” seloroh Basuni.

Berbeza dengan restoran biasa, premis milik Pak Haji atau Haji Isam, 56, itu hanya dibuka pada hari Jumaat bermula pukul 12 te­ngah hari hingga petang.

Lelaki warga Australia yang berketurunan Iraq itu langsung tidak mengenakan bayaran kepada golongan fakir miskin untuk menikmati makanan lazat di restoran tersebut, malah turut membenarkan mereka membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Kad identiti

Menurutnya, pengunjung yang datang boleh mengambil makanan yang disajikan menerusi sistem bufet.

“Restoran ini dibuka sejak dua tahun lalu dan waktu operasinya memang pada hari Jumaat sahaja,” ujarnya seperti dipetik portal Kompas.com.

Tambah Isam, kebanyakan pelanggan yang terdiri daripada penduduk sekitar Kalipuro akan diberikan kad khas yang memaparkan identiti dan alamat pemilik.

“Sebelum dapat kad, kami akan menyelidik latar belakang pengunjung sama ada tergolong dalam kategori fakir miskin atau tidak.

“Saya tidak mahu golongan yang berpura-pura miskin datang ke sini,” katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Indonesia.

Identiti pemilik pada setiap kad juga dibezakan antara fakir dan miskin.

Isam memberitahu, jika mana-mana pemilik kad meninggal dunia, ia akan digantikan dengan orang lain yang juga memerlukan. Rata-rata mereka terdiri daripada keluarga tua atau miskin.

Di Restoran Fakir Miskin, Isam dan isterinya akan melayani setiap pengunjung.

Kata Isam, setiap minggu, dia akan membelanjakan kira-kira sejuta rupiah (RM286.10) untuk membeli barang-barang mentah untuk kegunaan restoran.

“Saya menekankan bahawa bahan makanan yang dipilih adalah yang terbaik dan segar baik daging lembu, ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.

Menu berbeza

Hal itu harus dilakukan kerana Isam meyakini bahawa untuk bersedekah, dia harus memberikan yang terbaik daripada harta yang dimilikinya.

Saat pertama kali membuka restoran tersebut, Isam berkata, dia memasak sebanyak 12 kilogram beras tetapi ternyata berlebih sehingga banyak yang terbuang.

“Sejak itu, dia hanya memasak tujuh kilogram beras pada setiap Jumaat. Lauk pauk yang disediakan pula akan disesuaikan mengikut cita rasa pengunjung.

“Saya dan isteri akan me­­n­yiapkan menu berbeza setiap minggu agar pengunjung tidak bosan,” katanya.

Selain golongan fakir miskin, Isam dan isteri turut mengundang anak yatim piatu dari daerah berhampiran untuk makan bersama sebulan sekali.

Isam mengakui, amal jariah yang dilakukan sejak dua tahun kebelakangan ini mengundang rasa dengki dalam kalangan segelintir penduduk yang tidak senang de­ngannya kerana menganggap dia ada agenda tersembunyi.

Katanya, dia pernah diminta memberi keterangan dan disoal-siasat oleh pihak berkuasa kerana perniagaannya dicurigai.

“Ada polis datang ke sini, tentera ke sini tapi saya jelaskan semua bahawa niat saya hanya untuk bersedekah, tidak ada niat apa-apa lagi,” ujarnya.

Sebuah restoran di Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia menyediakan makanan yang enak dan berkualiti secara percuma untuk golongan fakir miskin.

Sumber : kosmo

Trend mati seorang diri semakin popular di Jepun

BAU busuk menusuk hidung Hidemitsu Ohshima tatkala dia memasuki bangunan pangsapuri kecil di tengah bandar Tokyo, Jepun.

Bau itu datangnya daripada mayat seorang lelaki yang mati sejak tiga minggu lalu.

Bilik itu mencerminkan kehidupan lelaki tersebut yang pembersih dan seorang pencinta muzik serta filem berdasarkan pelbagai koleksi cakera padat lama yang disimpan. Tiada sebarang gambar atau sekeping surat ditemui.

Lelaki yang berusia 50-an itu mati bersendirian walaupun dia tinggal di tengah kota yang menempatkan jutaan penduduk.

Kejadian itu menyebabkan Kodokushi atau mati bersendirian sebagai satu trend yang semakin menjadi-jadi di Jepun.

Dengan menggunakan sut putih lengkap bersama sarung tangan dan penutup muka, Ohshima mengangkat tilam yang sudah berulat itu secara perlahan-lahan.

Dia bukan sahaja mahu menahan bau busuk dan mengelak serangan pepijat tetapi memastikan tidak dijangkiti penyakit lain.

Kodokushi atau mati bersendirian adalah masalah yang semakin meningkat di Jepun apabila sebanyak 27.7 peratus daripada penduduk berumur lebih 65 tahun cuba mencari rakan seusia atau tinggal bersendirian berbanding bersama ahli keluarga mahupun ke pusat penjagaan orang tua.

Pakar mengatakan, kombinasi faktor kebudayaan, sosial dan demografi di Jepun telah menyebabkan trend berkenaan muncul dan semakin popular.

Budaya

Tiada angka rasmi yang mendedahkan jumlah kematian bersendirian daripada pihak berkuasa, namun kebanyakan pakar menganggarkan kejadian itu mampu mencapai 30,000 kes setahun.

Yoshinori Ishimi yang menjalankan perkhidmatan pembersihan Anshin Net yakin, angka sebenar jumlah kematian berkenaan adalah dua atau tiga kali ganda daripada apa yang masyarakat bayangkan.

Jepun mengalami perubahan budaya dan ekonomi yang begitu pantas sejak beberapa dekad lalu, namun apa yang menyedihkan masyarakat di negara itu masih tidak mahu menyerahkan beban untuk menjaga orang tua kepada ahli keluarga.

“Di Jepun, ahli keluarga sering menjadi individu terpenting untuk memberi sokongan dalam apa jua perkara tetapi sekarang keadaan sudah berubah, mereka lebih gemar tinggal dalam kelompok kecil,” kata Ketua Penyelidik, Institut Penyelidikan dan Informasi Mizuho, Fujimori.

Kadar penduduk yang berumah tangga juga semakin merudum apabila pakar mendakwa, ramai lelaki takut perkara itu akan menjejaskan kerjaya mereka kerana terlalu sukar untuk menyelesaikan dan memulakan hidup berkeluarga.

Malah kini, semakin ramai wanita memasuki alam pekerjaan dan tidak lagi memerlukan lelaki untuk membantu mereka. Perkara itu menyebabkan satu daripada empat orang lelaki berusia 50 tahun di Jepun tidak pernah berkahwin. Menjelang tahun 2030, angka itu dijangka meningkat kepada satu dalam tiga orang.

“Pada sisi lain, budaya masyarakat Jepun yang bersopan-santun sehingga takut mengganggu jiran mereka mengakibatkan kekurangan interaksi dan pengasingan. Jika situasi ini dibiarkan, akan ada lebih banyak kematian bersendirian berlaku,” ujar Fujimori lagi.

Selain menderita mati seorang diri, ia turut menghantui pemilik pangsapuri apabila tidak ada orang yang ingin menyewa atau membeli pangsapuri mereka. – AFP

Sumber : kosmo

Jalani 30 pembedahan plastik untuk puaskan hati kekasih

KATA orang, cinta itu buta dan ia juga akan membuatkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan hati orang yang dicintai.

Minggu lalu, tular di media sosial tentang pendedahan seorang wanita cantik yang mendakwa menjalani pembedahan plastik semata-mata mahu memuaskan hati teman lelakinya.

Bintang YouTube, Berry Ng, 22, membuat pendedahan bahawa dia sudah menjalani 30 pembedahan plastik bagi mengubah struktur wajah dan juga tubuhnya.

Memetik laporan akhbar China Press, Berry sudah mula menjalani pembedahan plastik seawal usia 17 tahun.

Dia mahu kelihatan seperti model Barat kerana menganggap dirinya tidak secantik mereka.

“Ketagihan untuk menjalani pembedahan plastik bermula apabila saya ternampak iklan di sebuah pusat kecantikan yang menawarkan tiga suntikan wajah pada harga HK$799 (RM418).

“Ia satu tawaran menarik dan harganya berpatutan memandangkan saya merupakan seorang pelajar sekolah pada waktu itu,” ujarnya.

Begitu pun, selepas selesai disuntik, perunding kecantikan di situ memujuk Berry supaya mengambil pakej suntikan lain dan memberikan harga istimewa kepadanya.

Ketagih

Terpengaruh dengan pujukan, Berry kemudian mula berani menyuntik wajahnya dengan pelbagai jenis suntikan.

Ketagihannya menjadi bertambah teruk apabila dia berusia 20 tahun.

Berry mula berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang jejaka yang tidak didedahkan namanya.

Menurut Berry, lelaki itu sering mengejeknya dan memberikan komen negatif terhadap wajahnya.

“Dia tidak pernah menganggap saya cantik dan sering mengejek wajah saya.

“Sekiranya dia pernah walau sekali pun memberitahu bahawa saya cantik di matanya, saya pasti tidak akan menjalani pelbagai pembedahan plastik yang menyakitkan,” tutur Berry.

Mengimbau kembali, Berry berkata, teman lelakinya sering mengejek bentuk mata, hidung serta saiz payudara Berry.

“Saya sanggup menjalani pelbagai pembedahan termasuklah memancungkan hidung serta pembedahan kelopak mata.

Menyesal

“Selepas berbuat demikian, teman lelaki saya masih tidak berpuas hati dan memberitahu bahawa dia tidak sukakan saiz payudara saya yang terlalu kecil.

“Oleh itu, saya sanggup memasukkan silikon pada payudara bagi memuaskan hatinya,” luahnya.

Berry juga menaikkan tulang pipi, mengubah bentuk dahinya supaya lebih bulat serta menyuntik bibirnya supaya lebih mungil.

Selepas menjalani pelbagai pembedahan, Berry terpaksa berehat lama bagi membolehkan badannya pulih.

Ketika itu, ibunya kesal dengan tindakan anaknya yang sanggup menyakitkan badan sendiri semata-mata mahu memuaskan hati teman lelakinya.

“Ibu memberitahu bahawa dia kesal dengan saya. Dahulu, saya sudah cantik namun kini telah ‘rosak’ akibat terlalu banyak menjalani pembedahan plastik,” ujarnya.

Selepas menyedari kebodohannya, Berry akhirnya memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut.

Dia kemudian berkongsi kisahnya menerusi satu video di YouTube, bertujuan untuk memberikan pengajaran dan nasihat kepada wanita lain di luar sana.

“Apa yang diperkatakan oleh teman lelaki terhadap teman wanitanya sebenarnya memberikan kesan besar dalam kehidupan.

“Contohnya, teman lelaki yang tidak sukakan bentuk hidung kekasihnya akan membuatkan wanita itu rasa rendah diri lalu sanggup memperbodohkan diri dan menjalani pembedahan plastik,” ujar Berry.

Jelasnya, dia amat menyesal kerana terlalu ikutkan kehendak teman lelakinya.

Wanita itu menambah, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wajahnya yang asal dan berikrar tidak akan menjalani pembedahan plastik lagi.

Berry Ng dari Hong Kong jalani 30 pembedahan plastik bagi mengubah struktur wajah dan tubuh hanya kerana mahu memuaskan hati teman lelakinya.

Hotel mewah untuk anjing

KATIL dengan hamparan cadar baldu, urutan di spa dan juga perkhidmatan perubatan 24 jam merupakan gaya hidup manusia yang mewah.

Kini, anjing juga boleh menikmati layanan sama apabila sebuah hotel mewah di India dibuka khusus buat haiwan tersebut.

Hotel Critterati yang terletak di Gurugram di utara India itu menawarkan layanan mewah kepada anjing dengan bayaran AS$70 (RM285) bagi satu malam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Critterati, Deepak Chawla, dia mewujudkan hotel tersebut kerana cukup sayangkan anjing dan berasa haiwan itu perlu menerima layanan mewah sama seperti manusia.

“Kata orang, anjing merupakan kawan baik manusia. Anjing juga merupakan seekor haiwan yang cukup setia. Oleh itu, apa salahnya jika mereka dimanjakan dengan layanan lima bintang,” katanya.

Mengulas lanjut, Chawla berkata, di India terdapat lebih 30 juta ekor haiwan terbiar dan kebanyakannya adalah anjing jenis St. Bernard, Labrador dan Lhasa Apso.

Dengan tertubuhnya Hotel Chitterati, haiwan-haiwan tersebut boleh menikmati layanan mewah yang mampu membuatkan mereka bertambah gembira dan ceria.

“Terdapat banyak pusat penja­gaan haiwan di sekitar India namun ada antaranya yang tidak menjaga atau memberikan la­yanan yang sebaiknya kepada haiwan-haiwan ini.

Layanan mewah

“Saya pasti, tiada sesiapa pun yang sanggup membiarkan anjing-anjing peliharaan mereka mahu pun anjing terbiar untuk tinggal di pusat-pusat penjagaan yang kurang memuaskan hati,” ujarnya memetik laporan Mail Online.

Hotel empat tingkat itu cukup elegan dan mewah, sesuai dengan status hotel lima bintangnya.

Suite-suite buat anjing dalam hotel tersebut dihias cantik dan ada antaranya memiliki balkoni sendiri dengan pemandangan memukau.

Anjing-anjing tinggal di situ juga boleh berenang di kolam renang peribadi yang disediakan dan diurut dengan urutan Ayurvedik selepas selesai berenang.

Bukan itu sahaja, Hotel Critterati juga menyediakan servis tata rias kepada anjing. Staf hotel akan membersihkan bulu anjing dengan bersih, selain mencukur bulu mereka sekiranya perlu.

Bukan itu sahaja, sebuah restoran lima bintang turut dise­diakan di aras bawah hotel tersebut. Ia menyajikan menu enak se­perti nasi bersama ayam panggang.

Selain itu, anjing-anjing yang tinggal di situ juga boleh menikmati pencuci mulut seperti kek cawan, penkek dan ais krim premium.

Berbelanja

Hotel Critterati juga menyediakan minuman bir tanpa alkohol yang diimport khas dari Belgium untuk dinikmati anjing-anjing di situ sambil bersantai.

Di hotel berkenaan, hari seekor anjing bermula seawal pukul 7 pagi. Mereka akan bangun dan diberikan sarapan pagi sebelum dibiarkan bermain.

Kemudian, mereka akan berenang, bermain semula dan menikmati makanan enak di restoran yang disediakan.

Chawla berkata, kebanyakan pengunjung tidak kisah berbelanja besar kerana ia ibarat berbelanja mewah untuk anak-anak mereka.

Menurut seorang pengunjung, Ashish Arora, dia tidak kisah untuk berbelanja besar kerana cukup sukakan layanan yang diberikan oleh Hotel Critterati.

“Saya memiliki seekor anjing jenis Labrador yang dipanggil Rubo. Ia cukup suka minum air kelapa dan makan ayam.

“Oleh itu, saya mahu Rubo me­rasai suasana mewah sama seperti manusia dan ia amat gembira,” ujarnya.

Hotel Critterati di India tawarkan servis lima bintang kepada anjing dengan bayaran AS$70 (RM285) satu malam.

Sumber : kosmo

Seni cetakan jalanan

DARI jauh kelihatan orang ramai mengerumuni seorang gadis yang sedang leka mengecat penutup lubang pembentung di sebatang jalan yang terletak di pusat bandar raya Berlin, Jerman.

Dengan berhati-hati, gadis itu dilihat menyapu cat berwarna hitam pada bahagian atas penutup lubang pembentung itu dengan menggunakan penggelek cat supaya sapuannya lebih rata dan kemas.

Selepas berpuas hati, gadis itu dilihat mengambil sehelai baju-T berwarna putih dan diletakkan pada atas penutup lubang pembentung yang telah disapu dengan cat hitam sebelum menekannya beberapa kali.

Selepas baju itu diangkat, tertera corak berbentuk beberapa bangunan yang terdapat pada bahagian atas penutup lubang pembentung itu pada baju tersebut sekali gus mempamerkan suatu hasil seni yang begitu menarik.

Pendekatan unik untuk menghasilkan corak pada tekstil dengan menggunakan teknik cetakan itu telah dipopularkan oleh sebuah kolej seni yang dikenali sebagai Raubdruckerin di Berlin.

Hasil seni

Pengasasnya, Emma France Raff memberitahu, dia mula melakukan teknik cetakan itu sejak tahun 2006 sewaktu menjayakan sebuah projek urban printing press dengan kerjasama bapanya, Johannes Kohlrusch.

Menurut Emma, idea untuk menghasilkan seni dengan teknik cetakan itu timbul selepas dia mendapat inspirasi melalui corak landskap bandar raya Berlin yang diukir pada penutup lubang pembentung selain beberapa corak geometri lain yang kelihatan menarik.

“Saya tidak menghasilkan lukisan, sebaliknya menggunakan hasil yang ada di sekeliling melalui teknik mudah dalam konteks baharu.

“Bermula daripada permukaan dinding, lantai simen dan penutup longkang, saya memindahkan corak yang ada itu pada sehelai baju-T untuk dijadikan satu hasil seni yang cantik,” ujar Emma.

Katanya lagi, dia menggunakan nama Raubdruck kerana reka bentuknya dihasilkan daripada penutup lubang pembentung dan beberapa permukaan bercorak yang lain.

Tidak hanya tertumpu di sekitar bandar raya Berlin, Emma dan pasukannya juga telah membuat perjalanan di bandar-bandar utama sekitar Eropah seperti Paris, Perancis; Amsterdam, Belanda dan Lisbon, Portugal.

Tujuannya cuma untuk melakukan seni cetakan pada penutup lubang pembentung atau longkang yang terdapat di bandar-bandar tersebut.

Menurut Emma, peralatan yang digunakan juga cukup ringkas dan mudah didapati di kedai-kedai.

Antara barangan yang digunakan adalah bingkai kadbod, dakwat, berus dan baju-T tanpa corak.

Apabila satu-satu corak itu telah dicetak pada baju-T, Emma akan mengambil gambar di sebelah objek yang digunakan bertujuan untuk memberi gambaran kepada orang ramai mengenai hasil seninya.

Hayati keindahan

Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang kaedah yang dilakukan, Emma dan kumpulannya sering membuat cetakan itu secara terbuka di tempat-tempat awam sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk melihatnya secara dekat.

Secara tidak langsung, aktiviti yang dilakukan itu dapat mempromosikan sesebuah bandar kerana kebanyakan motif corak yang dihasilkan mempunyai kaitan dengan lokasi tersebut.

“Tanpa kita sedar sebenarnya terdapat pelbagai corak menarik pada objek di sekeliling yang boleh digunakan dalam berkarya,” ujar pereka fesyen, Marcel Schlutt.

Emma menegaskan, karya seni yang dihasilkan melalui teknik cetakan itu sebenarnya bertujuan untuk merangsang persepsi mengenai hubungan dengan persekitaran dan menghayati keindahan yang tersembunyi pada objek-objek yang tidak dihiraukan.

Semua karya yang dihasilkan boleh dibeli melalui laman web rasmi Raubdruckerin atau berkunjung ke kedai yang terletak di Berlin.

Orang ramai juga boleh melihat karya-karya yang dihasilkan melalui laman perkongsian gambar Instagram di @raubdruckerinberlin.

Gila warna merah jambu

RAMBUT panjang Kitten Kay Sera yang diikat sanggul tinggi dirapikan dengan penyembur pelindung warna bagi memastikan mahkotanya yang diwarnakan merah jambu terang itu kelihatan lebih menyerlah di kaca televisyen.

Tidak sedikit pun berasa kekok, dia bersama anjing peliharaannya menampilkan aksi bersahaja di hadapan kamera semasa temu bual bersama The New York Post baru-baru ini.

“Inilah kehidupan kami yang diwarnai merah jambu,” ujar wanita berusia 53 tahun itu dalam nada ceria.

Dikenali dengan nama The Pink Lady of Hollywood, Sera bukan sahaja mewarnakan rambutnya dengan warna merah jambu, malah dia turut mewarnakan bulu anjing bernama Maltese Miss Kisses itu dengan rona tersebut.

Bahkan, segala barang termasuk perhiasan, pakaian dan makanan di rumahnya di Los Angeles, Amerika Syarikat juga dalam warna merah jambu.

Membenarkan jurukamera memasuki kediaman yang digelar Pink Palace itu, Sera begitu teruja untuk menunjukkan koleksi barangan dalam warna kegemarannya.

Sudut kamera merakam dinding dan perabot berwarna merah jambu selain koleksi pakaian dan aksesori yang tersimpan di dalam sebuah almari dengan rona sama.

“Saya tidak memakai pakaian berwarna lain kecuali merah jambu. Kalau ada upacara pengebumian sekalipun, saya tetap akan memakai pakaian berwarna merah jambu,” ujarnya.

Anjing merah jambu

Menurut Sera, minat terhadap warna itu timbul 33 tahun lepas semasa hari lahirnya yang ke-20.

“Saya mengenakan baju dan aksesori berwarna merah jambu pada hari tersebut. Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk hidup dengan warna monokrom ini setiap hari.

“Pasti ada pengaruh psikologi di sebaliknya. Saya tidak pasti apa, tetapi ia membuatkan saya gembira,” katanya yang menghabiskan kira-kira AS$1.5 juta (RM6.1 juta) untuk memuaskan minatnya terhadap warna merah jambu.

Bercerita tentang haiwan peliharaannya, Sera berkata, anjing jenis Pooch itu diwarnakan dengan pewarna rambut semula jadi daripada ubi bit yang dibenarkan veterinar.

Selain itu, minat menghias rumahnya dengan barangan berwarna merah jambu ternyata menguntungkan Sera. Manakan tidak, kediamannya itu sering disewa sebagai lokasi penggambaran selebriti terkenal.

“Saya dan Maltese Miss Kisses sendiri pernah menjalani 35 sesi penggambaran di sini untuk pelbagai penerbitan termasuk filem, majalah dan blog,” ujarnya sambil memberitahu, Paris Hilton dan Beyonce merupakan antara selebriti yang pernah menjalani penggambaran di Pink Palace.

Sera mengakui agak sukar untuk mendapatkan barang perhiasan, perkakas dapur dan peralatan dalam warna merah jambu lebih-lebih lagi sebelum internet diperkenalkan.

“Untuk itu, saya akan mewarnakan barang-barang ini mengikut warna merah jambu yang sesuai seperti nuansa fuchsia, ros dan lain-lain,” katanya yang berasal dari Texas, AS.

Kek cawan

Obsesi Sera terhadap warna merah jambu juga dapat dilihat pada seleksi makanannya yang terhad kepada rona itu sahaja.

“Saya suka menyediakan adunan kek cawan dan krim donut dengan menggunakan pewarna makanan merah jambu selain susu kocak strawberi,” katanya.

Pada usia lebih separuh abad, Sera tidak ketinggalan zaman dari segi pengikutnya di laman sosial. Di Instagram, wanita itu memiliki lebih 44,000 pengikut yang majoritinya terdiri daripada gadis remaja yang mempunyai minat sama terhadap warna merah jambu.

“Ia ibarat menyatukan sebuah komuniti yang menyukai satu-satu warna tertentu. Mungkin ada yang tidak menyukai apa yang saya lakukan tetapi tidak mengapa kerana minat setiap individu adalah berbeza,” katanya.

Sera diberi pengiktirafan oleh rancangan televisyen Ripley’s Believe It or Not sebagai wanita paling merah jambu di dunia.

Sumber : kosmo

Pasar jualan dalam kebun buluh

KEBUN buluh atau dipanggil sebagai papringan oleh masyarakat Jawa kebiasaannya dilihat sebagai kawasan yang kotor dan padat dengan rimbunan buluh.

Bagaimanapun, keadaan itu sangat berbeza dengan papringan di Dusun Ngadiprono, Desa Ngadimulyo, Kabupaten Temanggung, Jawa Tengah.

Pasar Papringan dimanfaatkan oleh penduduk untuk melakukan aktiviti jualan pada setiap minggu gaji (minggu keempat) dan minggu pon (minggu ketiga).

Ramai orang tidak percaya kebun buluh yang sebelum ini sepi dan kotor kini boleh menarik ribuan pengunjung datang ke lokasi tersebut untuk menikmati makanan tradisional yang dijual oleh masyarakat setempat.

Advertisement

Kawasan kebun buluh seluas 2,500 meter persegi itu digunakan oleh masyarakat setempat untuk membuka tapak jualan.

Suasananya yang terlindung daripada sinaran terik matahari memberi keselesaan bukan sahaja kepada peniaga tetapi pengunjung pasar itu.

Urus niaga

Diusahakan oleh Komuniti Mata Air, warga tempatan menjadikan ia sebagai pasar yang berkonsepkan mesra alam dengan keunikan tersendiri.

Dari segi operasi jual beli di pasar itu, para penjual tidak menggunakan plastik untuk membungkus makanan sebaliknya daun.

Penjual juga akan menyediakan bakul yang diperbuat daripada buluh untuk memudahkan pembeli jika membawa barangan yang banyak.

Lebih unik apabila urus niaga di pasar itu tidak mengguna wang tunai sebaliknya pengunjung perlu membeli buluh berbentuk empat segi panjang pada harga Rp2,000 (60 sen) bagi digunakan sebagai pertukaran ketika proses pembelian.

Pengunjung boleh menukar duit mereka kepada kepingan buluh itu di beberapa lokasi pertukaran yang disediakan di pasar tersebut.

Ketua Komuniti Mata Air, Iman Abdul Rofik berkata, pasar tersebut dibuka pada pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, tidak sekadar berperanan sebagai konservasi alam terutamanya tanaman buluh, pasar itu turut merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat tempatan.

Beliau memberitahu, sebelum ini kawasan tersebut digunakan sebagai lokasi pembuangan sampah, namun atas dasar keprihatinan, pihaknya membuka Pasar Papringan itu.

Terdapat seramai 60 penjual di pasar tersebut dengan majoritinya merupakan warga Dusun Ngadiprono.

Barangan yang dijual pula merangkumi makanan, hasil pertanian dan produk keluaran penduduk tempatan. Terdapat kira-kira 100 jenis makanan tradisional dijual di pasar itu antaranya ialah nasi jagung, mangut, jamu, dawet anget khas Ngadiprono, nasi megono, nasi kuning, bubur kampung dan wedang lemeng.

“Hasil jualan di pasar pelancongan ini mampu mencecah sehingga Rp35 juta (RM10,796) setiap kali beroperasi. Keuntungannya diperoleh daripada hasil jualan di pasar dan belum termasuk kutipan parkir,” ujar Iman.

Setiap kali beroperasi, jumlah pengunjung antara 1,800 hingga 2,000 orang yang datang bukan sahaja dari wilayah Kabupaten Temanggung dan Semarang, Yogyakarta, malah turut menarik pelancong asing.

Menurutnya lagi, penjual terdiri daripada warga Dusun Ngadiprono dan sekitarnya yang berniaga di pasar tersebut kerana mahu menjana ekonomi mereka.

Sekiranya ada pengunjung ingin mendapatkan makanan tradisional, mereka perlu datang pada waktu pagi kerana kebiasaannya ia akan habis sebelum pukul 12 tengah hari.

Pendapatan

Penjual ubi kayu dan bertih jagung, Artiyana berkata, setiap kali berniaga, dia akan memperoleh sebanyak 150 keping buluh atau bersamaan dengan Rp300,000 (RM92.52).

“Hasil jualan ini dapat membantu menambahkan pendapatan keluarga saya,” katanya.

Artiyana memberitahu, meskipun hanya menjual ubi kayu dan bertih jagung, ia mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung dan barangan juga pasti habis terjual setiap kali beroperasi.

Seorang lagi penjual, Noimah turut mengakui pasar tersebut sangat membantu menambahkan pendapatan keluarganya selain menjana ekonomi masyarakat setempat.

Dia menjual sebungkus nasi jagung dengan nilai dua keping buluh atau Rp4,000 (RM1.23), namun jika mengambil lauk seperti tauhu atau telur, harganya akan menjadi tiga hingga empat keping buluh.

Katanya, nasi yang dijualnya itu sangat digemari oleh pengunjung terutamanya dari luar kawasan tersebut sehinggakan sebelum pukul 12 tengah hari pasti ia habis dijual.

Katanya, walaupun beroperasi hanya dua kali dalam sebulan, ia turut menjadi daya penarik untuk pengunjung datang ke pasar tersebut.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Yogyakarta, Harianto berkata, pengunjung juga boleh menikmati kesenian tradisional masyarakat setempat.

Katanya, walaupun baru sekali berkunjung, dia mengakui pasar tersebut cukup unik kerana suasananya sangat cantik di bawah rimbunan buluh.

Pasar tersebut turut menawarkan khidmat mengurut dan memotong rambut selain terdapat permainan tradisional seperti terompah serta congkak.

Anak derhaka ugut dan cederakan ibu didakwa di mahkamah

BATU GAJAH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menakutkan dan menyebabkan kecederaan terhadap ibu kandungnya pada Isnin lalu.

Tertuduh, Halim Jeri, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa telah menakutkan secara jenayah dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Kutom Jali, 67.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Ulu Dedap, Kampung Gajah dekat sini kira-kira pukul 10.45 pagi hingga 11 pagi pada 25 Disember lalu.

Pertuduhan pertama dikemukakan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Halim didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), R. Yuvaraj.

Mohd. Fitri menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sama ada secara sendiri atau melalui ejen sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh 16 Januari untuk sebutan semula kes.

Akhbar Kosmo! semalam melaporkan, seorang anak derhaka sanggup menumbuk muka ibu kandungnya hanya kerana wanita itu tidak mampu memulangkan semula wang sebanyak RM40,000 yang digunakan bagi mengubah suai rumah mereka baru-baru ini.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, Halim datang ke rumah ibunya untuk menuntut semula wang tersebut dan mengugut bunuh wanita itu dengan sebilah parang.

Bagaimanapun, ibunya tidak mempunyai wang sebanyak RM40,000 sehingga menyebabkan lelaki itu berang sebelum menumbuk muka wanita tersebut. – K! ONLINE

Doktor terpotong zakar kanak-kanak didakwa

KAJANG – Seorang doktor yang melakukan kecuaian apabila terpotong kepala zakar ketika proses berkhatan terhadap kanak-kanak lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah.

Tertuduh Azahari Hashim, 52, juga turut berhadapan dengan pertuduhan menjalankan klinik perubatan tanpa berdaftar dan tiada Sijil Amalan Perubatan yang sah.

Bagaimanapun, Azahari mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Mengikut pertuduhan pertama, dia secara cuai mendatangkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak lelaki berusia yang kini berusia 11 tahun.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menjalankan klinik perubatan swasta tidak berdaftar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa tidak mempunyai Sijil Amalan Perubatan yang sah dan dakwaan kes mengikut Seksyen 33 Akta Perubatan 1971 dan boleh hukum di bawah Seksyen 35 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 jika disabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Klinik Keluarga, No 6, Jalan CU 15/B, Taman Cheras Utama, Hulu Langat, di sini pada pukul  8.15 malam, 20 Disember 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala tertuduh diwakili peguam bela Al Sabri Ahmad Kabri.

Mahkamah membenarkan jaminan RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Januari hadapan untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mungkin terpaksa menanggung kecacatan pada zakar sepanjang hidup selepas bahagian kepala kemaluannya terpotong ketika berkhatan menggunakan kaedah laser. – K! ONLINE

Sumber : kosmo

Pasaran lukisan termahal di Chinai

Qi Baishi, sekali pun sudah berada di alam barzakh, namun begitu, lelongan di Beijing China pada minggu ketiga Disember 2017 menjadi suatu penghargaan kepada keluarga, malah bangsanya apabila karyanya pada tahun 1925 bertajuk, 12 skrol landskap 1 laku dijual pada harga 931.5 juta Yuan (AS$ 144 juta). Harga itu mencatat rekod semua harga lukisan China, kata jurucakap Beijing Poly International Auction. Pelukis yang belajar sendiri , Qi-baishi (1864-1957) menjadi pelukis China pertama yang sebuah karyanya berharga melebihi AS$100 juta.

Sebuah lagi karya pelukis yang sama, gambaran helang di dahan pohon, dan di tepinya ada dua keping skrol kaligrafi, berukuran 3’ x 8.5’, dihasilkan pada tahun 1946, terjual pada harga AS$65 juta. Harga ini berupa lukisan kedua termahal dalam sejarah jualan lukisan China. Sebelum ini, pada tahun 2009, lukisan yang sama laku pada harga 436.8 juta Yuan. Qi, turut dikaitkan dengan kenyataan pelukis China paling prolifik pada abad ke-20.

Selain itu, karya Huang Binhong, bertajuk Gunung Kuning (1955) laku pada harga 345 juta Yuan. Nama pelukis ini dikaitkan dengan lukisan bermediakan dakwat dan ciri klasik serta tradisi bangsa.

Pasaran lukisan kali ini dianggap sebagai suatu gelombang di tanah besar China, sesudah puluhan tahun fenomena begini terjadi di Hong Kong. Harga-harga yang mahal untuk lukisan kini ada kaitan dengan kawalan kerajaan. Demikian pendapat para pemain dalam pasaran ini yang mewakili sektor swasta.

Mereka juga berpendapat bahawa selama ini realiti menunjukkan karya-karya lukisan terbaik berada di luar Republik China. Qi Baishi sendiri migrasi ke Eropah, selain Huang.

Namun demikian, kesedaran peri pentingnya nilai air muka bangsa, mengakibatkan Beijing sudah mula dijadikan tapak lelongan lukisan, berbanding sebelum itu, Hong Kong yang berperanan selama berdekad.

Sesudah tahun 2011, berlaku kelambatan jualan dalam pasaran lukisan di China, tetapi sementara sahaja kerana pihak swasta berpendapat, karya kurang diketengahkan. Kemudian, harga melonjak amat tinggi kerana dasar kerajaan China berkaitan anti korupsi dikemas kinikan serta menjadi penting dalam perniagaan.

Georgina Adam, seorang pengkaji berpendapat bahawa modal baru yang penting dalam pasaran lukisan turut berkaitan dengan Bank Minsheng, di Beijing yang melancarkan Skim Pelaburan Hasil Seni.

Skim ini bermanfaat kepada rakyat dan ruang lingkup penghasilan karya diperluaskan dari karya purba, klasik hinggalah kontemporari.

Kajian bank berkenaan menunjukkan bahawa berlaku kenaikan 25 peratus dalam produktiviti dengan begitu cepat. Banyak pelukis baharu telah muncul dan dikenali masyarakat di China malah di seluruh dunia. Malah nama Zheng Xiaogang, pelukis yang dikaitkan dengan siri perulangan garis darah berada di puncak, selain Chen Yifei yang walaupun berada di tangga ke lima pada nilaian mutu karya, namun dia lebih terkenal.

Keutamaan kini demi keterbukaan ruang kepada seniman Malaysia adalah kewajaran Perdana Menteri mempercepat usaha menjalin laluan perekonomian menang-menang berkaitan produk seni rupa dengan kerajaan China dan bukan hanya menjurus ke arah pembangunan produk seni bina bangunan, rel dan kereta api laju semata-mata.

Andai dibijaksanakan usaha, ia tidak canggung sementelahan tradisi seni catan moden di Malaysia yang bermula pada 1930-an pun dimulakan oleh sekumpulan pelukis China yang rata-ratanya, graduan universiti di China.

Sumber : utusan